Dua remaja lelaki cedera selepas terkena serpihan runtuhan dinding bangunan sebuah pasar raya besar di Manjoi, Ipoh, Perak pada Isnin kira-kira pukul 4.45 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad melaporkan mangsa yang berusia 13 dan 14 tahun tersebut sedang menunggang motosikal ketika melalui kawasan terbabit.
“Kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal berkenaan cedera ringan akibat terkena batu bata runtuhan pasar raya tersebut.
“Mangsa kemudiannya telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabarodzi turut memaklumkan sebelum ini, pasar raya tersebut dilaporkan terbakar membabitkan bilik suis utama di tingkat atas bangunan tersebut pada 10 Mac lalu.
“Kebakaran sebelum ini berpunca daripada bahagian bumbung dan tingkat satu yang menempatkan pakaian, barangan elektrik dan stor barangan selain berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis,” ujarnya.
Namun, siasatan mendapati tiada unsur pembakaran sengaja yang boleh dikaitkan dengan jenayah.
Baca juga: