Penunggang motosikal maut rempuh lori di KESAS

Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan antara sebuah motosikal dan sebuah lori di Tol Kemuning Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pegawai Bomba Kanan II Md Syazwan Md Radzi melaporkan mangsa yang berusia 25 tahun merupakan penunggang motosikal jenis Honda RSX.

“Pihak bomba mengeluarkan penunggang motosikal yang tersepit di bawah lori jenis Nisaan menggunakan peralatan khas termasuk power unit dan hydraulic cutter.

“Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan.

Md Syazwan turut memaklumkan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tersebut melibatkan seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bersama satu unit jentera FRT dan unit RIM.

Baca juga: