Maritim Malaysia tahan 2 lagi vesel nelayan asing di Kuala Perlis

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis menahan dua buah vesel nelayan asing (VNA) tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 7.0 dan 7.3 batu nautika dari Barat Kuala Perlis, Perlis pada Isnin lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis iaitu bot Perkasa 1227 yang sedang melakukan rondaan Op AMAN di sekitar perairan Perlis telah menghampiri beberapa buah bot fiber kerana mendapati bot-bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua buah bot terbabit yang berpengkalan di negara jiran (Thailand) mengekalkan modus operandi yang sama seperti tangkapan sebelum ini.

“Walaupun selang beberapa hari rakan mereka ditahan, namun mereka masih tidak serik memasuki perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, dua tekong masing-masing warga tempatan dan Thailand serta dua orang awak-awak warga Thailand berumur 27 hingga 41 tahun ditahan kerana memasuki perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.

Tambahnya, kesemua hasil tangkapan yang dianggarkan lebih RM20,000 bersama-sama suspek dan bot di bawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1) (a) iaitu menangkap ikan dan sebagainya oleh vesel penangkapan ikan asing di perairan perikanan Malaysia tertakluk kepada subseksyen (2) iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dan Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya.

Justeru, Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri itu dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan NG999.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat