Penunggang motosikal maut selepas bertembung kereta Myvi di Wakaf Tapai

Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Batu 10, Kampung Binjai Rendah, Wakaf Tapai, Terengganu pada Khamis.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wakaf Tapai memaklumkan menerima laporan kecemasan sekitar pukul 8.51 pagi yang melibatkan sebuah motosikal jenis SYM Sport Bonus bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Pasukan bomba seramai tujuh orang anggota telah bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRT sebaik sahaja panggilan kecemasan diterima.

“Akibat daripada kemalangan itu telah menyebabkan penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Manakala, pemandu Perodua Myvi, wanita dewasa yang turut mengalami kecederaan telah keluar sendiri daripada kenderaan sebelum pihak Bomba tiba dan di hantar ke hospital dengan menaiki Ambulan KKM,” kata Pegawai Bomba Kanan I (PBK I), Roslan Yusuf yang juga selaku Komander Operasi terbabit.

Mayat mangsa dilaporkan diserahkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Baca juga: