Polis tahan 5 pemandu lori positif methamphetamine

Polis menahan lima individu yang didapati positif dadah dalam Operasi Perdagangan Bersepadu yang dilakukan di KM 81, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam dan di KM 57.8, Jalan Batu Pahat – Mersing, Johor pada Selasa dan Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memaklumkan kesemua yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine ketika saringan awal air kencing dilakukan terhadap mereka.

“Mereka yang ditahan merupakan pemandu lori warganegara berusia dalam lingkungan 31 hingga 42 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Bahrin menyatakan hasil daripada Operasi Perdagangan Bersepadu turut mengeluarkan 53 saman atas pelbagai kesalahan trafik terhadap 98 buah kenderaan yang diperiksa.

Beliau juga menegaskan bahawa operasi sedemikian akan kerap dijalankan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya agar tidak berlaku kemalangan yang tidak diingini.

Pihak polis turut menyeru orang ramai untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai salah laku di jalan raya.

Baca juga: