Seorang maut dua lagi cedera dalam nahas lori kargo terbabas di Bintulu

Satu kemalangan jalan raya berlaku lebih kurang pada pukul 4.15 petang dipercayai melibatkan sebuah lori kargo terbabas di Kilometer 68 Jalan Pesisir Bintulu, Sarawak pada Rabu.

Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu, kejadian tersebut berlaku ketika pemandu lori memandu lori kargo jenis Toyota dalam perjalanan dari arah Miri menuju ke Bandar Bintulu.

“Pemandu lori merupakan lelaki bangsa Cina berumur 71 tahun memandu lori berkenaan bersama dua orang kelindan lelaki berbangsa Iban.

“Ketika di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu lori hilang kawalan terhadap lori yang dipandu lalu terbabas ke kawasan semak sebelah kiri jalan tersebut.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa seorang kelindan lelaki berumur 25 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu di tempat kejadian,” katanya.

Manakala, pemandu lori dan seorang lagi kelindan mengalami cedera ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Bintulu.

Dalam pada itu, kes kemalangan tersebut disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan insiden itu gar tidak menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya lagi.

Baca juga: