Suspek pembunuhan Nur Farah Kartini yang juga merupakan seorang anggota polis daripada Balai Slim River dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada pagi Jumaat.
Tertuduh yang berusia 26 tahun itu didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) terbabit di ladang SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam di antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.
Suspek didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika tertuduh disabit bersalah, suspek bakal berdepan hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh tertuduh sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Reza ketika perbicaraan dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam pada itu, Mahkamah turut menetapkan 30 Ogos bagi sebutan kes, sementara menunggu hasil laporan forensik termasuk laporan DNA dan laporan syarikat komunikasi.
Terdahulu, suspek tiba di perkarangan komplek mahkamah sekitar pukul 9.04 pagi dengan tangannya digari sambil memakai baju T serta seluar hitam dan diiringi rapat anggota polis.
Sebelum ini, tertuduh dipercayai membunuh gadis kelahiran Sarawak itu atas perselisihan perhubungan di ladang kelapa Sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pada pukul 6 petang.
Penemuan mayat mangsa tersebut dilaporkan daripada hasil soal siasat ke atas suspek yang juga dikatakan kenalan kepada mangsa ketika itu.
Suspek direman selama tujuh hari pada 16 hingga 22 Julai lalu sebelum tempoh remannya disambungkan sehingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, pihak polis turut menemui beberapa bahan bukti seperti telefon bimbit, kunci kereta dan dompet di beberapa lokasi meliputi parit sekitar daerah Hulu Selangor, Muallim dan Slim River di Perak.
Baca juga: