MCMC sasar 1,500 sukarelawan untuk rekrut, latih

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui inisiatif Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) telah merekrut dan melatih 11,335 sukarelawan sejak diperkenalkan pada tahun 2016.

Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan pihaknya menyasarkan untuk merekrut 1,500 sukarelawan di seluruh negara.

“Selain memperkasakan komuniti dengan kemahiran literasi digital, sukarelawan MIV turut menyokong pelaksanaan inisiatif keselamatan dalam talian MCMC iaitu Klik Dengan Bijak (KDB).

“Dengan meningkatkan kesedaran serta memberi pendidikan mengenai penggunaan internet yang positif, produktif dan bertanggungjawab,” katanya.

Bukan itu sahaja, topik KDB yang dikongsikan kepada komuniti termasuklah buli siber, jenayah penipuan dalam talian, serta perlindungan kanak-kanak dalam talian.

“Inisiatif ini mendidik pengguna internet khususnya dalam kalangan pelajar untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa,” katanya lagi.

Difahamkan, pelaksanaan MIV tersebut memperlihatkan kerjasama MCMC dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jelasnya, inisiatif MIV turut diperluaskan di komuniti yang mempunyai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Pada tahun 2023, sebanyak 498 program MIV telah dilaksanakan di seluruh negara dengan capaian lebih 2.3 juta audiens, manakala, program KDB pula sebanyak 569 program dilaksanakan dengan capaian melebihi 540,000 audiens.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat