Nasional

PLKN cuma ambil masa 45 hari – Menteri Pertahanan

Menteri Pertahanan memaklumkan perlaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) membabitkan dua fasa.

Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, bagi Fasa 1, pelajar Tingkatan 4 melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan di peringkat itu.

Sementara itu, pelajar Tingkatan 5 yang dikecualikan untuk menjalankan latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka untuk melakukan persediaan bagi menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.

“Jawatankuasa yang telah dilantik memberi pandangan kepada pihak kementerian dan kementerian telah memohon agar ia diubahsuai sehingga ke satu tahap di mana melihat kepada kepentingan penyertaan daripada peringkat sekolah lagi dan bukan sahaja fasa selepas sekolah.

“PLKN Fasa 1 membabitkan penglibatan di fasa sekolah, manakala PLKN Fasa 2 membabitkan selepas fasa sekolah, iaitu fasa sekolah, iaitu selepas peperiksaan SPM.

“Selepas penglibatan belia dalam PLKN ini, mereka akan disambut oleh agensi-agensi yang lain sebagai kesinambungan kelahiran mereka daripada program ini,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.

Mengulas mengenai tempoh pelaksanaan PLKN Fasa 2, katanya ia tidak mengambil masa lama seperti sebelum iaitu cuma selama 45 hari.

“Sebanyak 90 peratus daripada kandungan latihan Fasa 2 ini adalah berkaitan ketenteraan agar dapat membina jati diri belia yang kuat dan bertenaga.

“Manakala 10 peratus daripada kandungan adalah berkaitan tatanegara,” katanya.

Selepas latihan itu, Mohamad berkata agensi-agensi seperti bomba, polis dan pertahanan awam dapat melihat produk modal insan ini sebagai penyediaan kepada guna tenaga belia yang terlatih.

Untuk itu, beliau berkata kerajaan akan memanfaatkan 13 kem tentera wataniah di seluruh negara untuk pelaksanaan PLKN ini termasuk sebuah kem Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Tenaga pelatih akan terdiri daripada anggota tentera sendiri yang dapat menjimatkan kos keseluruhan.

Untuk kos asal adalah sekitar RM500 juta setahun, manakala kos baru berdasarkan kertas kerja Jawatankuasa adalah tidak melebihi RM100 juta setahun, iaitu sebuah langkah penjimatan yang sangat baik.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close