Siasatan dalaman kes kematian pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dipercayai akibat strok haba di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) masih dijalankan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pemergian Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, adalah satu kehilangan besar namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meneruskan latihan.
“Berdasarkan dari segi perubatan secara umumnya mereka (pegawai) didiagnos sebagai strok haba, namun PULADA sedang membuat siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian.
“TDM memandang serius setiap bentuk latihan yang dijalankan. Kursus ketua platun ini memang mencabar ketahanan mental namun ia kursus asas bagi pegawai TDM.
“Walaupun langkah seperti water break dan memastikan pegawai rehydrate diri mereka bagaimanapun keadaan cuaca sekarang ini mungkin TDM akan lihat semula (latihan berkenaan),” katanya selepas selesai berucap pada Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-30 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati tiada unsur khianat berhubung insiden kematian itu berikutan kejadian membabitkan beberapa mangsa yang mengalami strok haba sekali gus.
Katanya, setiap latihan dijalankan di PULADA perlu mematuhi garis panduan khusus yang sudah ditetapkan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
“Kita punya latihan pun ada OSH (Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), kita tekankan perkara itu, nak menembak pun kita pakai penutup telinga dan sebagainya.
“Dari segi latihan memang ikut SOP (prosedur operasi standard), ia (latihan) untuk memantapkan fizikal pegawai berkenaan,” katannya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, 10 penuntut yang menjalani kursus tempur pegawai PULADA mengalami simptom strok haba dengan tiga daripada mereka diberikan rawatan rapi di hospital.
Seorang Pegawai Muda Kor Risik Diraja (KRD) meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital dipercayai mengalami simptom strok haba.
Allahyarham Emil Syahid disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bharu pada 14 Oktober. – HMetro
Baca juga: