Biarpun ‘garang’, Cakra Khan tetap pilih Ramli MS

Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan mengakui selesa bekerjasama dengan pengarah muzik, Datuk Ramli MS meskipun umum mengetahui selebriti itu memiliki personaliti yang tegas.

Akui pemilik nama lengkap, Cakra Konta Paryaman, 31, berpendapat, ketegasan Ramli dapat membantu dirinya untuk menjadi lebih disiplin selain dapat menambah ilmu pengetahuan.

“Beliau seorang yang berdedikasi dan menjaga disiplin. Dia memang tegas orangnya dan pada saya, sikap sebegitu amat perlu untuk mendidik kita lebih baik.

“Saya tidak kisah atau ambil hati walaupun dimarahi olehnya. Asalkan dimarahi itu untuk perkara yang betul, saya terima,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika ditemui pada Sidang Media Cakra Khan A Decade Live In Kuala Lumpur 2.0 di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Mencari Cinta Sejati itu juga mengakui kemahiran dan kebolehan Ramli dalam melakukan susunan muzik.

“Pada konsert terdahulu, beliau hanya berkesempatan untuk menyusun dua buah lagu. Saya berpendapat lagu susunan beliau sangat menarik dan memuaskan.

“Disebabkan itu saya sekali lagi bekerjasama dengan beliau untuk menjadi pengarah muzik konsert pada tahun depan.

“Memandangkan konsep konsert dipersembahkan secara orkestra, jadi saya rasa ini akan menjadi sesuatu yang luar biasa,” ujarnya.

Konsert Cakra Khan yang dibawakan oleh Seven Skies Motion akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 Februari hadapan.

Tiket dijual bermula pada harga RM218 hingga RM1288 dan boleh didapati menerusi ticket2u.com.my.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat