Isteri bersubahat dengan teman lelaki peras ugut suami, minta RM2,000

Seorang wanita direman selama empat hari kerana disyaki bersubahat dengan teman lelaki melakukan jenayah pemerasan terhadap suami pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superitenden Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun kira-kira pukul 9.47 malam.

Berdasarkan laporan, kira-kira pukul 8.30 pagi Khamis, pengadu telah menghantar isteri dan tiga orang anaknya ke perhentian bas di Kampung Jaya Sepakat, Pekan Nanas untuk menaiki bas ke Kota Tinggi bagi tujuan mengunjungi keluarga.

Mohammad Shofee berkata, pengadu telah gagal menghubungi isterinya dan semakan dengan ibu mertuanya juga mengesahkan isterinya tiada di Kota Tinggi.

“Pada Jumaat, kira-kira pukul 12.14 tengah hari semasa pengadu berada di rumahnya telah menerima pesanan ringkas “Whatsapp” daripada nombor yang tidak dikenali dan meminta wang berjumlah RM2,000 sekiranya mahu keluarga pulang dengan selamat.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah menjalankan dua serbuan berasingan di kawasan Kluang dan berjaya membuat tangkapan ke atas isteri pengadu dan teman lelakinya disyaki telah bersubahat melakukan jenayah pemerasan terhadap pengadu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Difahamkan, kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Baca juga: