Polis berjaya menahan dua wanita warga asing dan seorang lelaki warga tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bersama sepucuk pistol tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat, Pulau Pinang pada Sabtu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya telah menjumpai dan merampas dadah jenis eramin 5, ketamin, ekstasi dan MDMA serta barang-barang disyaki peralatan menghisap dadah.
“Hasil pemeriksaan menjumpai sepucuk pistol tiruan beserta satu botol plastik mengandungi bebola plastik. Turut ditemui adalah sebuah buku lima berbentuk pisau.
“Tangkapan telah dibuat ke atas ketiga-tiga suspek yang berumur 29 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, suspek lelaki warga tempatan itu mempunyai enam rekod lampau yang mana dua kesalahan melibatkan jenayah dan empat kesalahan melibatkan dadah.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati positif pelbagai jenis dadah.
Katanya, suspek warga tempatan tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) (A) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berjadual 1958.
“Manakala, dua perempuan warga asing yang merupakan pembantu rumah tersebut tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan memiliki dokumen perjalanan yang sah serta ujian saringan air kencing kedua-dua dapati negatif,” katanya.
Difahamkan, ketiga-tiga tangkapan direman tujuh hari bermula 28 Julai hingga 3 Ogos 2024 di bawah Seksyen 39 (B) ADB 1952.
Baca juga: