Seorang wanita dipercayai warga tempatan kerugian RM658,166 selepas terpedaya dengan ‘Love Scam’ di aplikasi telegram dan whatsapp pada 4 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa berusia 38 tahun itu pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa telah ditawarkan untuk menjalankan perniagaan sebagai agen barangan kosmetik melalui link yang diberikan.
Kumarasa berkata, mangsa telah membuat 30 transaksi pembayaran ke atas 11 pemilik akaun berlainan yang dipercayai sebagai bayaran penghantaran barang kepada pelanggan.
“Mangsa kemudian membuat panggilan video dan mendapati muka lelaki yang dikenali tidak sama seperti yang dipaparkan di profil aplikasi whatsapp. Mangsa berasa telah ditipu dan tampil membuat laporan polis.
“Kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dibuka atas laporan polis tersebut yang mana boleh dihukum sehingga sepuluh tahun penjara dan sebatan atau dengan denda,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, polis menyeru orang awam agar lebih berhati-hati dan tidak menggunakan media sosial sebagai perantara untuk mencari jodoh.
Justeru, orang awam juga dinasihatkan agar mengikuti laman sosial yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi membuka minda dan pengetahuan tentang trend jenayah semasa.
Baca juga: