3 diberkas kutip duit parkir haram di Johor

JOHOR BAHRU: Kenakan kutipan bayaran parkir secara haram, tiga lelaki diberkas menerusi Op Bersepadu Parkir Haram yang dijalankan di Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Ungku Puan malam tadi.

Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Johor Bahru Selatan (JBS) menerusi kenyataan media pada Ahad memaklumkan, operasi tersebut diketuai tujuh pegawai BSPT JBS dan operasi bermula pukul 8 malam dan berakhir sekitar 11 malam.

“Dua suspek lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh ditahan susulan hasil pemantauan serta operasi yang telah dijalankan.

“Kesemua suspek yang ditahan berumur sekitar 35 hingga 43 tahun,” katanya.

Menurut kenyataan itu, operasi dijalankan berikutan aduan orang awam tentang berlakunya aktiviti kutipan duit parkir haram.

“BSPT menerima aduan berkaitan aktiviti kutipan parkir secara haram dan paksaan di kawasan itu.

“Tangkapan ke atas semua suspek terlibat dijalankan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 39(B) dan 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

BSPT JBS menyeru orang ramai agar mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya sedia ada serta mengelakkan daripada melakukan aktiviti tidak sihat yang boleh menggugat keharmonian bersama.

Anda Mungkin Berminat