JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, Jumaat lalu.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kekosongan kerusi DUN Mahkota itu dimaklumkan kepada SPR, pagi tadi.
“Pagi ini saya memaklumkan SPR melalui hantaran faks mengenai kekosongan kerusi DUN Mahkota, susulan penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, meninggal dunia Jumaat lalu.
“Justeru DUN Johor menyerahkan kepada SPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Allahyarhamah Sharifah Azizah, 64, meninggal dunia, kira-kira jam 12.25 tengah hari Jumaat lalu.
Beliau memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon Barisan Nasional (BN) menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.