Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor kembali menjadi isu utama selepas beberapa hari kematian penyandangnya, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada Jumaat lalu.
Ia susulan AMANAH Bahagian Kluang mengadakan satu sidang media hari ini dan menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi tersebut, memetik kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dalam kenyataan itu, Ketuanya, Zuhan Mohd Zain yakin AMANAH mampu memenangi kerusi DUN Mahkota sekiranya diberikan peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan berdasarkan kepada analisis yang dibuat di peringkat kawasan Kluang.
Bagaimanapun, tuntutan itu ditempelak Pemuda UMNO Johor yang menyifatkan AMANAH Kluang sebagai gelojoh dan tamak.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, AMANAH juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarham serta tidak meletakkan sempadan nilai simpati dalam amalan berpolitik.
Isu tuntutan kerusi berlarutan apabila Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong berkata, penentuan dan pelantikan calon serta pembahagian kerusi ditentukan oleh kedua-dua pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN secara musyawarah tanpa perlu dibincangkan di media massa.
Katanya, pada masa sama, DAP Johor berpegang kepada prinsip penyandang dengan parti yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya sebelum ini akan meletakkan calon dalam PRK itu.
“Biarlah kepimpinan membuat keputusan tanpa sebarang spekulasi serta tanpa mana-mana pihak membuat tuntutan terbuka di media massa.
“Rundingan kerusi akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PH dan BN. DAP Johor akan menghormati keputusan yang bakal dibuat,” katanya dalam kenyataan media pada hari sama.
Isu ini juga mendapat perhatian Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mencadangkan agar lebih elok AMANAH membantu calon BN bertanding dalam PRK tersebut daripada menuntut kerusi berkenaan.
“Kita sudah ada persefahaman, siapa yang menang tempat itu mereka akan bertanding. Itu jelas. AMANAH bertanding PRN lalu di DUN Mahkota, tapi UMNO dapat undi 16,000, AMANAH 11,000 undi jadi itu faktanya,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Dalam pada itu, Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, parti itu sedia bertanding walaupun terpaksa berdepan pertemuan tiga penjuru dalam PRK DUN Mahkota nanti.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, BN tetap akan bertanding dalam PRK DUN Mahkota yang akan diumumkan.
Terdahulu, hantaran notis mengenai kekosongan kerusi Dewan Negeri Johor Kawasan Mahkota telah disampaikan kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menerusi hantaran faks.
Perkara tersebut disahkan Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Mohd Puad Zarkhashi menerusi satu kenyataan media di laman facebook miliknya pada Ahad.
“Pagi ini (Ahad), saya telah memaklumkan kepada pihak SPR melalui hantaran faks mengenai kekosongan kerusi Dewan Negeri Johor Kawasan Mahkota kerana penyandangnya, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain telah meninggal dunia pada 2 Ogos 2024 lalu.
“Justeru, pihak Dewan Negeri Johor menyerahkan kepada SPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media.