Politik

Pemimpin Parti Negara China terima kunjungan hormat KEADILAN

Delegasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Negara China (IDCPC), TYT Liu Jianchao pada Selasa.

Kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk kerjasama antara parti.

Dalam pertemuan yang diketuai oleh Ketua Delegasi KEADILAN, Nurul Izzah Anwar itu, Liu menegaskan tentang kepentingan bagi mengeratkan hubungan antara Malaysia – China.

“Hubungan ini sudah membuahkan hasil daripada segi pemerdagangan dua hala yakni China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009.

“Negara ASEAN kini mempunyai potensi yang cukup besar kerana ia kini dipimpin oleh barisan pemimpin yang berwibawa,” katanya pada pertemuan yang berlangsung di pejabatnya di Beijing, China.

Pertemuan itu juga mencerminkan persahabatan erat dan persefahaman antara pemimpin kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 sejak termeterainya Kenyataan Bersama (Joint Communique) antara Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri, Zhou Enlai pada 31 Mei 1974.

Pada masa yang sama, Liu turut menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berani untuk membuat keputusan sendiri dan tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar yang lain.

“Berdamai dengan semua dan tidak memilih untuk bermusuh dengan sesiapa,” katanya.

Liu dan Izzah juga bersependapat untuk mempererat hubungan intra-parti serta berkongsi pendirian yang jitu dan kukuh terutamanya dalam konflik kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin dan Ukraine.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan hormat Liu di Putrajaya, di mana mereka mencapai kata sepakat untuk memperkukuh kerjasama ekonomi terutama pelaburan dari China, mempertingkat kesalinghubungan selain terus menjalin usaha sama dalam lapangan pendidikan dan sektor belia.

Untuk rekod, China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk 15 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion) pada 2023.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close