Rundingan gencatan senjata Gaza bakal terkubur?

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Masihkah ada harapan untuk rundingan gencatan senjata bakal terhenti selepas kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh pada 31 Julai lalu di Iran?

Persoalan utama ini menjadi kebimbangan kerana Allahyarham Haniyeh, 61, begitu sinonim memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis, malah beliau juga sering menjadi penggerak utama pelbagai inisiatif rundingan dan gencatan senjata.

Menurut Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, persoalan itu akan dirungkai berdasarkan siapa pengganti kepada Haniyeh.

“Dengan ketiadaan Haniyeh, bergantung kepada siapa penggantinya. Dikatakan Khaled Bashaal penggantinya. Beliau lebih radikal berbanding Haniyeh yang lebih sederhana.

“Hakikatnya rundingan gencatan senjata sekarang bukan sahaja terhenti, tetapi kemungkinan tidak akan menjadi kerana Khaled akan meneliti Israel sebagai rakan perbincangan yang tidak boleh dipercayai kerana membunuh Haniyeh,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit, baru-baru ini.

Ulasnya lagi, walaupun dengan ketiadaan Haniyeh, Deklarasi Beijing yang dipersetujui antara 14 kumpulan Palestin termasuk Fatah dan Hamas pada Julai lalu akan kekal.

“Haniyeh adalah seorang pemimpin yang boleh bertolak ansur dengan sekutunya dalam Palestin seperti Deklarasi Beijing dan kemungkinan kerjasama ini akan kekal,” katanya.

Kematian Haniyeh bukan sahaja satu kehilangan besar buat kumpulan pejuang berkenaan malah pemergiannya turut diratapi komuniti Islam seluruh dunia.

Di Malaysia sendiri, ribuan rakyat menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin untuk menyatakan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.

Dalam himpunan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan Pidato Kemuncak Himpunan Pembebasan Palestin selepas tayangan video Belasungkawa kepada Haniyeh.

Anda Mungkin Berminat