Zahid mohon maaf tersasul di Himpunan Pembebasan Palestin

Oleh: Farah Faizal

BUKIT JALIL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kerana tersasul semasa berucap di Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad malam.

Menurut beliau, keghairahan berpidato ketika itu untuk memberikan dukungan dan tanda solidariti bagi membebaskan Palestin.

“Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menerusi hantaran berkenaan, beliau memperjelaskan kesilapan melaungkan ‘hidup Israel’ semasa berpidato di himpunan berkenaan.

“Hadirnya kita sebagai rasa cinta terhadap keamanan, kedamaian dan menolak sekeras-kerasnya penindasan serta kezaliman manusiawi.

“Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin! Allahu Akbar,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, tujuan himpunan tersebut diadakan antara lain bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang dibunuh dengan kejam.

“Kami berkumpul bagi memperingati As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang telah dibunuh dengan kejam.

“Namun, walau seorang Ismail Haniyeh gugur ribuan mujahid lagi akan dilahirkan!,” ujarnya.

Himpunan Pembebasan Palestin itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jemaah Kabinet, perwakilan asing dan lebih 15,000 rakyat Malaysia serta warga asing bagi menyatakan sokongan dan solidariti kepada perjuangan serta pembebasan Palestin daripada kekejaman rejim Israel.

Anda Mungkin Berminat