Bukan protes biasa, tapi serangan samseng – PM Britain

LONDON: Keganasan perusuh sayap kanan dengan laungan anti-pendatang di beberapa bandar Britain hujung minggu lalu mengakibatkan kerajaan baharu United Kingdom (UK) bergelut mengawal jenayah terburuk dalam tempoh 14 tahun ini.

Mereka membakar hotel yang menempatkan pencari suaka, merosakkan bangunan awam, bertempur dengan polis, membaling objek serta menghancurkan kenderaan pegawai sebenarnya susulan protes yang tercetus akhir bulan lalu dan semakin merebak ke bandar-bandar lain.

Hal ini kerana ramai terpengaruh dengan maklumat salah mengenai serangan tikaman yang menyebabkan tiga kanak-kanak maut di Southport, utara England.

Haluan kanan mendakwa serangan itu dilakukan oleh pendatang asing sehingga mencetuskan kemarahan rakyat tempatan, lapor CNN World pada Selasa.

Maklumat salah yang disebar atas talian berkenaan serangan ke atas tiga kanak-kanak di Southport, utara England membangkitkan kemarahan orang awam

Terdahulu, Perdana Menteri Keir Starmer dalam mesyuarat tergempar pada Isnin menyifatkan ia bukan protes biasa tetapi keganasan samseng dan berjanji akan menyelesaikannya sesegera mungkin.

“Rakyat di negara ini mempunyai hak untuk selamat, namun kita melihat masyarakat Islam jadi sasaran dengan serangan ke atas masjid, tabik hormat Nazi di jalanan, serangan ke atas polis, keganasan yang tidak senonoh di samping retorik perkauman,” Starmer berkata di Downing Street.

Rusuhan itu adalah krisis pertama bagi Starmer, yang menjadi pemimpin Britain sebulan lalu selepas Parti Buruh mengalahkan Konservatif dalam pilihan raya umum.

Sepanjang Jumaat, Sabtu dan Ahad, penunjuk perasaan berkumpul di bandar utama seluruh negara dan bermula sebagai perarakan anti-imigresen, dengan anjuran sekumpulan haluan kanan di platform media sosial seperti X, kumpulan WhatsApp dan Telegram.

Lebih 370 orang telah ditangkap berikutan keganasan pada hujung minggu dan jumlah itu dijangka meningkat namun masih ramai lagi suspek yang belum dikenal pasti dan pihak berkuasa berikrar untuk menggunakan pengecaman muka dan teknologi lain untuk mengesan mereka.

Anda Mungkin Berminat