PETRA fokus inisiatif kecekapan tenaga pengguna domestik melalui SAVE 4.0

Oleh: Shafira Aziz

CYBERJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menekankan tentang inisiatif kecekapan tenaga melalui Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE 4.0).

Menterinya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, program ini menyediakan e-Rebat sehingga RM400 untuk pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang.

“Usaha ini bertujuan menggalakkan penggunaan peralatan cekap tenaga, menyumbang kepada penjimatan kos tenaga sebanyak RM75.32 juta dan 111,000 tan karbon dioksida setahun.

“Program Rebat Bil Elektrik RM40 pula memastikan pengguna domestik miskin tegar terus dilindungi,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga Jun 2024, seramai 56,513 Ketua Isi Rumah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih menerima manfaat tersebut, membolehkan mereka membiayai bil elektrik bulanan hingga maksimum RM40.

Sementara itu, pengguna komersial dan industri menikmati penurunan kadar surcaj Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh Julai hingga Disember 2024.

“Langkah ini diharapkan dapat mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran serta menggalakkan pelaburan, memberi impak positif kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga mendapat manfaat daripada penurunan surcaj sebanyak 1 sen/kWj bagi kategori lampu jalan (tarif G dan G1).

Penurunan tersebut memastikan perkhidmatan pencahayaan menyeluruh di kawasan awam dapat dibekalkan, meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.