Dari India, PM Bangladesh terus ke London

NEW DELHI: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang meletakkan jawatan susulan rusuhan keganasan tiba di pangkalan tentera udara di India petang semalam.

Beliau berlepas dengan pesawat Tentera Udara Bangladesh sebelum mendarat di pangkalan Hindon Tentera Udara India, di Ghaziabad, berhampiran New Delhi, lapor saluran berita India Tv News.

Bagaimanapun, sumber tertinggi Tentera Udara menyatakan yang Hasina akan berpindah ke London.

Beliau meninggalkan negaranya berikutan bantahan besar-besaran menentang kerajaannya, menurut media India.

Terdahulu, ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-uz-Zaman mengumumkan kerajaan peralihan selepas Hasina melarikan diri di tengah-tengah protes ganas di seluruh negara.

Dalam ucapannya kepada rakyat, Panglima Tentera, Jeneral Waker-Uz-Zaman mengesahkan perdana menteri telah meletakkan jawatan dan kerajaan sementara akan mentadbir negara ketika ini.

Beliau meminta rakyat untuk terus meletakkan kepercayaan kepada pihak tentera dan berjanji akan mengembalikan semula keamanan negara tersebut.

Pihak berkuasa di Dhaka juga menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal, menurut akhbar harian nasional Prothom Alo.

Keadaan tegang pada pagi Isnin namun media melaporkan situasi bertukar kepada sambutan kegembiraan pada awal tengah hari susulan berita perletakan jawatan Hasina mula tersebar.

Protes di negara itu berlaku sejak sebulan lalu disebabkan kontroversi kuota pekerjaan kerajaan.

Protes itu kemudiannya bertukar kepada demonstrasi besar-besaran di seluruh negara dan seterusnya menyebabkan penentangan terhadap Hasina serta parti Liga Awami yang dipimpin beliau.