Oleh: Kamilia Ali
KUALA LUMPUR: Berita dukacita pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Jumaat lalu kembali menjadi isu utama.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad turut berkongsi rasa kesedihan itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga serta rakyat bagi kawasan DUN Mahkota.
Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, beliau menyeru semua pihak agar mengambil pendekatan yang sensitif serta memberi ruang kepada keluarga dan waris yang sedang berduka atas pemergian Allahyarhamah.
“Wanita UMNO berpendirian bahawa adalah lebih sesuai untuk menahan diri dari membincangkan isu berkaitan kerusi DUN Mahkota.
“Biarlah isu berkenaan dibincangkan melalui Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan pihak pengurusan tertinggi Parti.
“Kami menghargai kesedaran serta empati yang ditunjukkan oleh masyarakat dan mengajak semua untuk bersatu dalam memberikan sokongan kepada keluarga Allahyarhamah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar roh Allayarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan keluarga beliau diberi kesabaran dalam menghadapi dugaan tersebut.
Terdahulu, isu tuntutan kerusi berlarutan apabila Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong berkata, penentuan dan pelantikan calon serta pembahagian kerusi ditentukan oleh kedua-dua pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN secara musyawarah tanpa perlu dibincangkan di media massa.
Katanya, pada masa sama, DAP Johor berpegang kepada prinsip penyandang dengan parti yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya sebelum ini akan meletakkan calon dalam PRK itu.
Baca juga: