Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Setelah tular di media sosial poster rasmi sambutan kemerdekaan yang memperlihatkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dengan tambahan satu menara, syarikat pengiklanan tersebut tampil membuat permohonan maaf.
WOW Media Sdn Bhd menerusi satu kenyataan media di Facebooknya berkata, mereka telah mengenal pasti kesalahan dan segera menurunkan visual tersebut dengan serta-merta.
“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang mungkin timbul dan akan menilai semula prosedur untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai satu poster rasmi sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields yang didapati dijana dengan bantuan Kecerdasan Buatan (AI).
Walaupun tidak menjadi satu kesalahan menggunakan bantuan AI, namun poster terbabit sekali gus menghilangkan identiti menara berkenaan.
Susulan penularan poster terbabit, pihak IPD Brickfields dalam satu kenyataan di Facebook mendakwa poster berkenaan dari Papan Iklan Digital di kawasan Desa Sri Hartamas dan telah menasihatkan pemilik syarikat pengiklanan untuk menurunkan iklan tersebut dengan segera.