EXCO Selangor kutuk serangan bersenjata cederakan dua wanita

PETALING JAYA: Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor, Dr Fahmi Ngah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penjenayah yang mencederakan seorang gadis dan ustazah di sebuah surau di Kelana Jaya pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan, Dr Fahmi menggesa pihak polis agar mempercepatkan tindakan memburu penjenayah terbabit.

“Selaku Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), saya telah memohon bantuan pihak PDRM agar segera memburu penjenayah ini dan memaksimakan segala bentuk tindakan undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah,” jelasnya.

Tegas Dr Fahmi lagi, rumah ibadat dan sekolah wajib menjadi tempat selamat untuk setiap rakyat.

“Tindakan biadap dan intimidasi seperti ini hanya wajar dibalas oleh suatu respon yang segera, keras dan tegas oleh semua pihak berkuasa yang terlibat.

“Saya juga berharap agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar segera melaporkan kepada pihak PDRM.

“Saya mendoakan agar mangsa diberikan afiyah dan kesembuhan segera dan agar pihak PDRM segera menangkap penjenayah biadap ini,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira 1.30 petang, dua wanita berusia 20-an dan 50-an terbabit cedera ditikam dan dilibas lelaki yang melarikan diri menaiki kereta jenis Audi.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang membuat persiapan untuk memulakan sesi pembelajaran waktu petang sebelum didatangi suspek.