Malaysia kutuk serangan kejam Israel terhadap Sekolah al-Tabin di Gaza

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam oleh rejim Israel terhadap Sekolah al-Tabin di Gaza pada Sabtu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri, serangan tersebut telah mengorbankan lebih daripada 100 nyawa rakyat Palestin yang berlindung di sekolah tersebut, termasuk ramai kanak-kanak.

“Serangan yang sengaja dilakukan terhadap sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan bagi rakyat Palestin bukan sahaja melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa tetapi juga mencerminkan niat jahat rejim Israel yang jelas tidak menghormati usaha perdamaian.

“Malaysia melihat serangan ini sebagai satu tindakan biadab dan menekankan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertoleransi terhadap kekejaman ini,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Dalam pada itu, Malaysia menyeru sekutu-sekutu rejim Israel untuk menghentikan segala bentuk sokongan yang memungkinkan genosid tersebut terus berlaku.

“Negara-negara ini perlu mendesak Israel untuk segera menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah dan menuntut agar rejim Zionis dipertanggungjawabkan atas jenayah perang yang telah mereka lakukan.

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu segera bertindak untuk melaksanakan gencatan senjata kekal serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke Palestin tanpa sebarang halangan,” tambah kenyataan tersebut.

Dalam masa yang sama, Malaysia tetap komited dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin dan tidak akan berhenti sehingga negara Palestin yang merdeka dan berdaulat ditubuhkan dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya yang sah, diiktiraf sebagai anggota penuh PBB.