Suspek bunuh Istiqomah direman 7 hari

MELAKA: Suspek kes bunuh guru wanita, Istiqomah Mohd Rozi yang dibunuh dengan kejam Disember tahun lalu direman tujuh hari bermula Isnin bagi membantu kes siasatan pembunuhan tragis itu.

Majistret Teoh Shu Yee mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu sehingga Isnin untuk membantu siasatan di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, pengesahan itu dibuat selepas hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan 2 Ogos lalu ke atas ibu wanita berkenaan yang sepadan dengan mangsa.

“Kita menemui tulang jari dan kepala tidak jauh dari lokasi penemuan mayat, kira-kira lima hingga enam kilometer.

“Susulan itu, sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun ditahan di Chemor, Perak yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Ashari berkata, kedua-dua individu ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan mayat wanita berusia 33 tahun itu dibunuh kejam sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang di longkang di Pulau Sebang yang dilaporkan hilang di Johor, 27 Disember lalu adalah Istiqomah Mohd Rozi, 33.

Sebelum ini, kehilangan Istiqomah tular di media sosial, setelah guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, Pasir Gudang, Johor itu tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja pada 27 Disember 2023.

Bagaimanapun, kereta serta kunci kenderaan yang dinaiki wanita berkenaan ditemui di sekitar Lotus Kota Masai kira-kira pukul 2 petang, 27 Disember

Mayat ditemukan dengan hanya beralaskan kain merah selain kepala, kedua belah kaki hingga ke paras lutut dan tangan dipercayai telah dipotong.

Dalam pada itu, suami Istiqomah, Mohd Yusof Mokhtar, 35, juga sebelum ini berikhtiar pelbagai cara untuk mencari isterinya yang juga ibu kepada tiga cahaya mata, termasuk hebahan menerusi media sosial.