Oleh: Wahida Ramlan
AKAUN media sosial kepada pelumba basikal Jepun, Shinji Nakano dipenuhi cemuhan dan kecaman oleh warganet Malaysia selepas insiden aksi akhir sukan Keirin di Olimpik Paris 2024 membabitkan pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Ramai yang tidak berpuas hati lantas menghentam atlet Jepun itu di laman media sosial miliknya kerana mendakwa Shah Firdaus ditolak sebelum sampai ke garisan penamat.
Rata-rata netizen mengeluarkan kata-kata kesat dalam Bahasa Melayu seperti anjing, nate dan lain-lain.
Dalam pada itu, Shah di laman Instagramnya memohon agar rakyat Malaysia bertindak lebih matang dalam menggunakan media sosial.
“Suka juga untuk saya menggunakan platform ini untuk kita saling mengingatkan bahawa kami sebagai atlet sangat menjaga nama baik negara Malaysia yang kita cintai ini daripada pelbagai aspek.
“Oleh itu, saya berharap warga Malaysia yang menyokong dan menonton acara-acara sukan, apatah lagi di pentas sebesar ini untuk turut menjaga nama baik negara. Apa jua yang berlaku di lapangan dan gelanggang, jangan sesekali diheret sebagai isu peribadi dan emosi.
“Negara kita negara yang penuh budi bahasa, semoga terzahir dalam konteks sukan juga,” katanya hari ini.
Terdahulu, atlet negara berusia 28 tahun itu hampir mendapatkan pingat gangsa sebelum dilanggar oleh pelumba Jepun itu.
Shah menamatkan saingan di tempat keempat sebelum disingkirkan (relegated) menempatkannya di tangga keenam selepas ulang tayang mendapati Shah Firdaus melakukan kesalahan.