PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta kerajaan menetapkan garis siling bagi gaji ketua eksekutif atau pengarah urusan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) agar tidak keterlaluan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata setakat ini, pihaknya difahamkan tiada garis siling bagi gaji jawatan ketua BBP dan jumlah diterima juga berbeza-beza.
“PAC mahu kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan menetapkan garis siling gaji ini supaya tidak keterlaluan sehingga ada BBP yang gagal membayar dividen kepada kerajaan, tetapi sebaliknya mampu membayar tinggi gaji pengurusan tertinggi,” katanya, memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola BBP yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.
Ia bagi memastikan pengurusan BBP di negara ini lebih telus, berintegriti dan mempunyai kebertanggungjawaban.
Mengikut Akta Badan-Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240), Badan Berkanun Persekutuan ialah mana-mana pertubuhan perbadanan, yang diperbadankan menurut peruntukan Undang-Undang Persekutuan dan yang menjadi pihak berkuasa awam atau agensi Kerajaan Malaysia.
Matlamat penubuhan BBP adalah bagi membolehkan kerajaan bertindak lebih cekap tanpa terikat dengan peraturan pentadbiran kerajaan melalui suatu badan yang boleh bergerak lebih pantas, seiring dengan syarikat swasta.
Antara BBP ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Tabung Haji (TH), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia (LPPM).
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai julat gaji pengurusan tertinggi dalam BBP itu.
Pada 2018, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengarahkan gaji dan elaun pengerusi badan berkanun, suruhanjaya dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disemak semula.
Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, arahan itu dikeluarkan susulan isu gaji dan elaun Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ketika itu, yang mencecah RM85,000 sebulan.