Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Menteri Tenaga APEC tekan potensi pelaburan hijau

Oleh: Kamilia Ali

PUTRAJAYA: Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijangka membincangkan hala tuju, dasar dan kerjasama untuk pertumbuhan mampan dalam sektor tenaga khususnya peralihan tenaga.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat EMM pada 15 hingga 16 Ogos 2024 di Lima, Peru.

PETRA memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan adalah di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik atau Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC).

Katanya, usaha pelaksanaan peralihan tenaga negara akan memastikan pembangunan tenaga yang inklusif dan saksama serta berkongsi mengenai aspirasi negara ke arah pembebasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang tahun 2050.

“Usaha tersebut akan dilaksanakan menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen (HETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Perkongsian dan libat urus mengenai inisiatif-inisiatif progresif oleh Malaysia ini mampu memberikan gambaran positif mengenai potensi pelaburan hijau negara kepada para pelabur dari rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurutnya, segala inisiatif yang diusahakan akan meluaskan jaringan kerjasama dalam pelbagai bidang tenaga khususnya yang berpotensi menyokong komitmen negara.

Tambah PETRA, mesyuarat berkenaan merupakan pertemuan peringkat tertinggi pemimpin ekonomi APEC yang bertanggungjawab terhadap pembangunan tenaga.

“Mesyuarat kali ini dijangka akan membincangkan mengenai hala tuju, dasar dan kerjasama dalam pertumbuhan mapan bagi bidang tenaga.

“Terutama sekali dalam aspek peralihan tenaga dan usaha pengurangan jejak karbon di kalangan ekonomi APEC,” jelasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat