Oleh: Farah Natasya
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan Palestin, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Selain memaklumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju perkara itu, beliau berkata pihaknya telah menerima kunjungan Duta Besar Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali di Menara MITI pada pagi Isnin.
“Malaysia komited untuk membantu Palestin membangunkan semula ekonominya yang lumpuh.
“MoU ini akan saya tandatangani bagi pihak kerajaan Malaysia bersama rakan sejawat saya dari Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Tengku Zafrul berkata, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Palestin pada 2023 meningkat sebanyak 52.1 peratus atau RM20.8 juta berbanding pada 2022.
“MoU ini insya-Allah akan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Kita juga akan menubuhkan Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Palestin untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
“Segala usaha ini mencerminkan sokongan Malaysia terhadap usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan komited menyokong perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bekerjasama dengan negara-negara sahabat untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi isu Palestin.