Polis giat kesan suspek samun, tikam pekerja wanita kedai aiskrim

Oleh: Shafira Aziz

SHAH ALAM: Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian samun yang berlaku di sebuah kedai aiskrim di Taman Sri Muda pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, rakaman kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut tular di media sosial.

“Rakaman tersebut menunjukkan suspek yang memakai pelitup muka dan bersenjatakan pisau pemotong kertas untuk menikam mangsa yang bekerja di premis berkenaan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan telah dirawat di Hospital Shah Alam dan sudah dibenarkan pulang pada Selasa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Iqbal turut memaklumkan tiada sebarang kerugian yang dialami oleh mangsa dan kedai aiskrim tersebut.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah berjaya menimbulkan wajah sebenar suspek dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat