Bangkit kembali Azizulhasni!

Oleh: Hanim Nadia

SUDAH lima hari berlalu, namun insiden penyingkiran jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang,36 masih belum dapat dihadam dirinya sehingga ke saat ini.

Menerusi luahan di media sosial, Azizulhasni buat sekian kalinya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal merealisasikan harapan membawa pulang pingat emas sulung negara di Olimpik Paris 2024.

Atlet yang dikenali dengan gelaran ‘Pocket Rocketman’ itu berkata, proses persiapan menjelang Paris 2024 berjalan lancar dan sentiasa memainkan gambaran positif dalam usaha menyediakan sebuah cerita manis buat Malaysia dan kariernya.

Namun, semua itu tidak berhasil seperti dirancang apabila insiden berkenaan menyebabkan dirinya disingkirkan dan detik pada ketika itu seakan terhenti seketika buat dirinya.

“Saya hadir ke Paris dengan penuh harapan dan membawa misi penting negara tercinta. Mungkin ada yang kata harapan terlalu tinggi terlalu besar membuat saya hilang kawalan. Tidak sama sekali, semuanya berada di dos yang sepatutnya.

“Saya teringat janji-janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini merupakan penampilan Sukan Olimpik terakhir ketika mana mereka semua meminta untuk saya bersara selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu. Saya terfikir adakah ini semua berlaku kerana melanggari permintaan mereka dahulu.

“Dari awal karier sehingga sekarang mereka inilah sumber kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan sehingga mampu menjadi antara terbaik di puncak dunia,” kata Azizulhasni.

Bagaimanapun beliau akan cuba menerima takdir tersebut dengan hati yang terbuka.

“Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir. Semua yang berlaku di dunia ini sudah ditentukan oleh Allah Azzawajala sebelum kita diciptakan lagi dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

“Syukur kerana saya berpegang teguh dengan tali Allah, jika tak saya tidak tahu bagaimana untuk menghadamkan dan memproses segala yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, rakan seperjuangannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula akan menyokong apa juga keputusan Azizulhasni.

Untuk rekod, hasrat Azizulhasni untuk menghadiahkan emas Olimpik pertama negara lebur apabila tersingkir daripada saringan pertama keirin selepas penyertaannya dibatalkan kerana didakwa memintas pacer terlalu awal pada aksi di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, Sabtu lalu.