Ulasan | Betul ke Jepun jajah Tanah Melayu dengan basikal?

Oleh: Helmi Effendy

MENELUSURI sejarah penaklukan Jepun pada tahun 1941, terdapat anggapan umum bahawa angkatan tentera Imperial Jepun di bawah Jeneral Yamashita hanya bergantung pada penggunaan basikal.

Namun, hakikatnya, logistik dan kekuatan ketenteraan Jepun jauh lebih kompleks dan tidak semata-mata berasaskan infantri atau basikal sahaja.

Basikal memang memainkan peranan penting sebagai salah satu aspek logistik dalam kempen Jepun di Malaya, berfungsi sebagai tulang belakang pergerakan mereka. Namun, ia tidak mampu mengangkut aset perang berat seperti artileri. Kekuatan tentera Jepun ketika itu mencapai 70,000 anggota, dilengkapi dengan 568 pesawat dan 200 kereta kebal khusus untuk Kempen Malaya. 

Mereka tidak hanya bergantung pada berjalan kaki atau berbasikal dari Kota Bharu ke Singapura. Tentera Jepun juga memanfaatkan trak tentera British yang ditinggalkan serta trak milik peniaga Cina untuk mengangkut bekalan makanan, peluru, dan anggota tentera hingga ke Singapura.

Selain itu, landasan kereta api yang sedia ada digunakan untuk menghantar bekalan kepada tentera di barisan hadapan. Trak tentera, kenderaan tempur dan kereta api yang ditinggalkan oleh British semasa pengunduran mereka dimanfaatkan semula oleh Jepun untuk keperluan logistik.

Tidak ramai yang menyedari bahawa selain infantri, tentera Imperialis Jepun turut membawa kereta kebal ringan dan sederhana, disokong oleh pesawat pejuang dan pengebom dalam kempen mereka.

Mereka juga membawa sejumlah besar artileri. Pertempuran utama seperti di Kampar, Slim River, Gemas, dan Muar menunjukkan gabungan serangan infanteri dan kereta kebal yang efektif.

Sebagai contoh, pertempuran di Jitra melibatkan penggunaan kereta kebal dan artileri dari Singora, selain kemaraan infantri. Pertempuran ini berakhir dalam masa 15 jam, meskipun garis pertahanan di Jitra sepatutnya mampu bertahan sehingga tiga bulan.

Begitu juga di Slim River, Gemas, dan Muar, gabungan serangan elemen armor dan infantri membentuk unit tempur yang berjaya mematahkan pertahanan Tentera Berikat, akhirnya membolehkan Jepun memasuki Singapura.

Strategi ini dikenali sebagai “Combined Arms”, di mana setiap divisyen infanteri disokong oleh kenderaan tempur dan serangan udara dari pesawat pengebom dan pejuang. Taktik serangan kilat ini mirip “Blitzkrieg” yang diaplikasikan oleh tentera Jerman.

Jepun juga memiliki rangkaian perisikan yang teliti di Malaya. Maklumat mengenai kedudukan pangkalan, unit tentera, dan aset militer diperoleh daripada perisik tempatan serta warga Taiwan dan Korea yang menyamar sebagai pelancong.

Gerakan nasionalis seperti Kesatuan Melayu Muda turut membantu Jepun dengan menanam doktrin anti-imperialis di kalangan penduduk tempatan, membangkitkan semangat untuk menentang penjajah dengan sokongan Jepun.

Di pihak British, kelemahan persiapan turut menyumbang kepada kekalahan mereka di Malaya dan Singapura. Tentera British kebanyakannya kurang pengalaman tempur dan latihan yang memadai.

Mereka juga dilengkapi dengan persenjataan guna semula, dari raifal hingga meriam, dan tiada elemen armor atau kereta kebal dalam angkatan mereka sehingga saat akhir kejatuhan Singapura. 

Pesawat yang ditugaskan untuk mempertahankan Malaya terdiri daripada pesawat usang, hasil daripada polisi Churchill yang menumpukan sumber peperangan ke arah mengalahkan Jerman di Eropah.

Ketiadaan angkatan laut Tentera Berikat juga memberi kelebihan kepada Jepun dalam penaklukan Malaya. Jepun menguasai perairan dan ruang udara Malaya, membolehkan mereka mengatur gerak tentera melalui pendaratan amfibia di Teluk Intan.

Mereka kemudian membentuk rusuk untuk mengalahkan pertahanan British, seperti yang dilihat dalam pertempuran di Kampar, di mana tentera Jepun mengepung Tentera Berikat dari selatan, memaksa mereka berundur ke Trolak dan kemudian Slim River.

Secara keseluruhan, taktik Jepun yang mengutamakan pergerakan pantas infanteri, disokong oleh kereta kebal, artileri, dan bantuan udara yang efisien, berjaya mengasak Tentera Berikat hingga ke Singapura. 

Dengan kelengkapan yang lebih baik dan tentera yang lebih berpengalaman – kebanyakan mereka pernah berkhidmat di China -Jepun mampu menundukkan Malaya dan Singapura dalam 1 bulan 23 hari.

Walaupun basikal memberikan kelebihan mobiliti dan menjadi tulang belakang logistik Jepun dalam kempen mereka di Malaya, ia hanyalah sebahagian daripada strategi keseluruhan yang membawa kepada kemenangan mereka.


***Penulis adalah penulis buku dan aktivis sejarah, beliau sentiasa berkongsi kajian dan pandangannya mengenai sejarah di Malaysia menerusi catitan di media sosial dan bukunya

Anda Mungkin Berminat