2 pesawat TUDM diterbangkan ke Mesir, misi bawa pulang rakyat Palestin cedera ke Malaysia

Oleh: Wahida Ramlan

KUALA LUMPUR: Dua pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza di Mesir bagi misi membawa orang awam Palestin yang cedera ke Malaysia untuk diberikan rawatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan perkara itu kepada New Straits Times, dengan menyatakan misi itu sedang dijalankan ekoran pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Pembebasan Palestin pada 4 Ogos lalu.

“Ya, saya akan memaklumkan kepada media (tempat mereka akan dirawat) apabila mereka tiba nanti,” katanya.

Menurut FlightRadar24, dua pesawat A400M yang mempunyai tanda panggilan RMF148 dan RMF147 sudah berlepas dari Pangkalan Udara Subang sekitar pukul 7 malam Selasa dan mendarat di Pangkalan Udara Al Maza sekitar pukul 6 pagi (waktu tempatan).

Airbus A400M Atlas adalah pesawat pengangkutan empat enjin tentera turboprop Eropah yang direka oleh Airbus Defense and Space sebagai pengangkutan udara yang taktikal dengan keupayaan strategik.

Dinamakan sempena tuhan Yunani, Atlas boleh mendarat di atas rumput, dan jalur separa siap mampu membawa muatan lebih berat daripada C-130 Hercules termasuk helikopter dan kenderaan tempur infantri.

Ia juga mempunyai keupayaan mengisi minyak udara ke udara dan boleh digunakan untuk pemindahan perubatan bagi menampung sehingga 66 pengusung dan 25 kakitangan perubatan.

Dalam pada itu, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, rakyat Palestin yang cedera masih diproses di Mesir sebelum mereka boleh dibawa ke Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan akan membantu merawat rakyat Palestin yang cedera, khususnya wanita dan kanak-kanak, dengan membawa mereka ke Malaysia.

Hampir 40,000 rakyat Palestin dipercayai telah terbunuh dan cedera susulan serangan Israel ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lepas.