Bonda MB Kedah meninggal dunia

Oleh: Kamilia Ali

ALOR SETAR: Berita dukacita, ibu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah kembali ke rahmahtullah kira-kira 9.40 pagi tadi di wad ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Pemergian Allahyarhamah Meriam Ahmad, 74, disahkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim menerusi aplikasi WhatsApp.

“Al-Fatihah. Bonda Menteri Besar Kedah, Meriam Ahmad, telah menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9.40 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan di doakan semoga roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya.

Difahamkan, jenazah dijangka akan diuruskan dan dikebumikan selepas solat Asar di Masjid Sungai Pau, Sik, Kedah.

Terdahulu, media melaporkan Allahyarhamah menerima rawatan di HSB sejak Isnin lalu.

Meriam ditidurkan pada hari yang sama dipercayai mengalami serangan jantung ketika berada di rumahnya, di Sik.

Muhammad Sanusi ketika dihubungi memaklumkan, ibunya dibawa ke Hospital Sik untuk pemeriksaan awal sebelum doktor memutuskan untuk memindahkan Meriam ke HSB pada hari sama.

Anda Mungkin Berminat