PERU: Malaysia konsisten dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) berlandaskan kepada empat prinsip utama demi kemaslahatan rakyat dan masa depan negara.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata demikian ketika menghadiri hari kedua Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Ke-14 (EMM14) di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Pusat Konvensyen Lima (LCC) pada Jumaat.
“Perbincangan hari ini memberikan tumpuan kepada cabaran dan langkah penyelesaian untuk meningkatkan akses tenaga untuk pertumbuhan mampan, pembangunan hala tuju dan strategi pembangunan hidrogen serta dokumen rangka kerja dasar hidrogen rendah karbon bagi rantau APEC.
“Secara umumnya, semua ekonomi APEC mengakui kepentingan akses tenaga dalam memacu pertumbuhan mampan. Dalam mempromosi pembangunan lestari, usaha perlu dipertingkatkan untuk mengatasi halangan dan memudahkan capaian bekalan tenaga kepada rakyat khususnya di luar bandar,” katanya yang turut berkongsi di Facebook pada Sabtu.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa dalam keghairahan melaksanakan agenda pembangunan mampan, akses kepada bekalan elektrik merupakan perkara asas dan penting yang perlukan usaha bersepadu daripada pelbagai Kementerian, jabatan dan industri.
“Saya turut berkongsi bahawa pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) oleh Malaysia adalah berlandaskan kepada empat prinsip utama iaitu menyokong aspirasi pembangunan mampan negara, memastikan peralihan tenaga yang adil dan inklusif, memperkukuh tadbir urus yang efektif serta memperluas penglibatan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PKS) dalam ekosistem tenaga,” katanya.
Beliau seterusnya membentangkan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen Malaysia (HETR) yang menekankan pendekatan berfasa dalam membangunkan infrastruktur dan industri hidrogen, rangka kerja regulatori serta promosi bersasar bagi meningkatkan pelaburan dalam industri hidrogen tempatan.
Antara projek-projek utama hidrogen yang diketengahkan adalah Stesen Pengisian Hidrogen Bergerak (MHRS) dan Hab Hidrogen Sarawak yang berpotensi untuk mengangkat Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran hidrogen bersih.