Oleh: Datuk Seri Zambry Abd Kadir
ULASAN: Saya bersyukur atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Abd Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Kemenangan ini merupakan kejayaan yang bermakna selepas PRK Sungai Bakap ketika analisis mengatakan bahawa orang Melayu sudah menolak UMNO, meskipun yang bertanding adalah rakan dari parti Kerajaan Perpaduan, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam PRK Nenggiri ini Perikatan Nasional (PN) masuk dengan penuh keyakinan bahawa mereka akan terus menang bergaya.
Ini kerana Kelantan adalah sinonim dengan kerajaan PAS dan PN.
Sehinggakan calon PN ini yang asalnya dari PAS ditukarkan kulit parti kepada Bersatu – suatu langkah kreatif PAS untuk menguasai DUN Nenggiri.
Pengerusi BN selaku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedar akan cabaran menanti ketika Persidangan Agung berada di ambang dalam beberapa hari lagi.
Dan serangan yang dilakukan oleh Pengarah PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa, orang yang pernah memimpin ‘war room’ UMNO/BN.
Zahid juga sedar bahawa Annuar Musa dan rakan-rakannya mahu menjadikan PRK ini sebagai referendum bagi menolak Presiden UMNO dan sekali gus parti UMNO.
Justeru, beliau secara berpasukan, “take charge” meneliti setiap pelan dan langkah bagi menghalang usaha Annuar Musa dan rakan-rakannya.
Justeru, ada beberapa pemerhatian saya terhadap keputusan semalam.
Pertama, Bersatu/PAS (PN) sangat yakin dengan gelombang Melayu/Islam yang menolak UMNO yang dipimpin oleh Ahmad Zahid dan kerajaan PH yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, kempen-kempen menanam kebencian dan penolakan terhadap Ahmad Zahid, Anwar, kerajaan PH, dan UMNO berjalan dengan penuh keangkuhan oleh pihak PN.
Annuar Musa Memudahkan BN
Kedua, Pemilihan Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihanraya PN dan penampilan beliau dengan LVnya memberi kelebihan kepada pasukan BN untuk menyusun strategi menentangnya.
Bagi ahli UMNO, apa yang dilakukan oleh Annuar Musa terhadap parti BN dan pimpinannya sangat berlebihan tanpa mengenang jasa parti UMNO/ BN terhadapnya selama ini.
Ketiga, BN menukar kaedah dari ceramah besar-besaran kepada berkampung dan program taqarrub.
Meskipun tidak kedengaran dentam dentum ceramah dari BN, tetapi jentera menyelinap masuk ke kampung-kampung dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan penuh disiplin.
Keempat, ahli-ahli UMNO/BN cukup berdisiplin sebagai pasukan. Mereka mengambil pendekatan ‘under-dog’ ketika menyusun gerak kerja.
Pasukan dari negeri-negeri datang turut membantu BN Negeri Kelantan. Mereka tidak meninggalkan pengkalan atau datang sebagai “pelancong pilihanraya”.
Kelima, kawasan Orang Asli dijaga oleh pasukan bahagian-bahagian dari Negeri Kelantan dan dari negeri-negeri yang berpengalaman dengan Orang Asli iaitu Perak dan Pahang.
Meskipun PN dengan lambang PASnya turut membina khemah-khemah mereka di kawasan Orang Asli, namun gagal menarik sokongan.
Keenam, kepimpinan Pengarah Jentera Negeri Kelantan yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Jazlan yang efektif bersama dengan Ketua-ketua bahagian.
Beliau sangat “hands-on” dan begitu menekankan disiplin di kalangan pasukannya.
Ketujuh, peranan Ku Li sebagai orang yang sangat berpengalaman dalam kawasannya.
Beliau telah memberikan nasihat dan menyediakan kaedah mengendalikan pengundi-pengundi di Gua Musang khsususnya di DUN Nenggiri.
Kelapan, calon BN yang baik. Pemilihan saudara Awie memberi banyak kelebihan kepada BN kerana beliau sudah dikenali di kawasan Nenggiri dengan khidmatnya.
Kesembilan, langkah PN dengan ceramah-ceramah mega dan politik negara gagal memberi impak kepada kawasan luar bandar seperti Nenggiri.
Ini ditambah dengan maki hamun dan kutukan keperibadian terhadap pemimpin-pemimpin PH dan BN.
Kesepuluh, strategi isu tempatan iaitu seperti hal tanah Kesedar yang tidak diselesaikan oleh kerajaan negeri menjadi keutamaan pengundi lebih daripada isu politik UMDAP.
Kesimpulannya, PRK Nenggiri memberi pelbagai pengajaran untuk diambil sebagai panduan.
Dukungan PM/TPM
BN dan UMNO menerimanya dengan penuh insaf dan rendah diri bagi memulakan langkah ke hadapan dan mengembalikan keyakinan rakyat.
Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dukungan yang kuat kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan BN dalam PRK Nenggiri ini.
Juga tidak dilupai rakan-rakan dalam parti komponen BN dan Friends of BN yang bergerak seiring senada.
Demikian juga rakan-rakan dalam parti Pakatan Harapan yang turun membantu menggembleng usaha dan tenaga.
Ini adalah gerakan persefahaman dan kerjasama yang baik untuk masa depan bersama.
Terima kasih pengundi Nenggiri atas pemilihan seorang wakil rakyat baru.
Semoga YB Awi akan bangun menjadi pemimpin dan wakil rakyat generasi baru yang berwibawa.
*** Penulis adalah Setiausaha Agung BN dan juga Menteri Pengajian Tinggi.