SUBANG JAYA: Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO), Rozaid Abdul Rahman, 58, meninggal dunia di kediamannya di Putra Heights, petang tadi.
Berita kematian tersebut dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Facebook miliknya.
“Saya baru sahaja menerima perkhabaran duka mengenai pemergian Allahyarham Rozaid Abdul Rahman, Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di PMO.
“Saya ingin mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” menurut perkongsian itu.
Sementara itu, PMO dalam satu kenyataan mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan dan diampunkan segala dosa Almarhum serta diberi tempat istimewa di sisiNya,” katanya.
Allahyarham yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian itu telah dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di PMO pada 23 Mei 2023 bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman.
Allahyarham sebelum ini pernah mengalami serangan jantung dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 1 Julai lalu dan telah dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos lalu.
Pada 4 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi Rozaid Rahman yang sedang menerima rawatan di hospital itu.
Allahyarham yang juga wartawan veteran itu juga pernah menjawat jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.