Diyakini Maimunah akan terus banteras gerai haram di ibu kota

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Usaha membanteras peniaga haram dan aktiviti penjaja tanpa lesen sekitar ibu kota oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diyakini akan diteruskan di bawah pentadbiran Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai Chen Heng berkata, isu tersebut adalah aduan tertinggi ketika beliau menerajui jawatankuasa Komunikasi Korporat dan Komuniti di agensi tersebut.

“Saya mempunyai akses kepada statistik aduan DBKL dan isu yang paling banyak diadukan ialah struktur haram dan peniaga kecil haram.

“Saya harap isu-isu ini dapat diteruskan dan diharap di bawah pentadbiran Dr Maimunah, sekali gus membebaskan ibu kota daripada sarang peniaga haram,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Maimunah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa 15 Ogos lalu bagi menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh yang menamatkan perkhidmatannya pada 14 Ogos.

Andre Lai menaruh harapan tinggi terhadap Maimunah yang berpengalaman selama 39 tahun dalam perancangan dan penjanaan semula bandar untuk membawa dinamisme baharu kepada DBKL.

“Kehebatannya sebagai perancang bandar adalah elemen yang diperlukan oleh Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar antarabangsa dengan lima juta penduduk.

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai Chen Heng

“Antaranya, rumah mampu milik adalah keutamaan paling mustahak dalam konteks Malaysia MADANI yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Masjid India dan Jalan Petaling (Petaling Street) yang berjaya boleh diaktifkan sebagai pemangkin menyambut kedatangan pelancong ke KL dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Jelasnya, walaupun beliau tidak mengenali Maimunah secara peribadi, namun beliau percaya pengalamannya sebagai penjawat awam hampir 40 tahun akan membantu DBKL.

Terdahulu, Maimunah pada hari pertamanya memberi amaran kepada pegawai dan anggota penguat kuasa bahawa beliau langsung tidak akan bertoleransi terhadap rasuah sepanjang mentadbir DBKL.

Tegas Maimunah, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam aspek rasuah dan penyalahgunaan kerana mahu DBKL dilihat sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berintegriti, akauntabiliti dan telus.

Anda Mungkin Berminat