Husaini Rahman dilantik Ketua Pentadbir Parlimen baharu

Oleh: Wahida Ramlan

PETALING JAYA: Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia yang ke-8 bermula hari ini bagi menggantikan tempat Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali yang bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Perkara itu dimaklumkan Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia menerusi satu kenyataan.

“Seluruh warga Parlimen Malaysia merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman atas pelantikan ini.

“Serta ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat di Parlimen Malaysia,” ujarnya.

Husaini merupakan anak kelahiran Bota, Perak dan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau memulakan kerjaya di dalam perkhidmatan awam pada 24 April 2000 dan pernah berkhidmat di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau juga sebelum ini, telah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 4 Oktober 2023.

Dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh beliau, pihak Parlimen percaya beliau mampu menggalas tanggungjawab dalam terus membangunkan Parlimen Malaysia sebagai sebuah institusi legislatif yang berkesan, bertanggungjawab serta telus di semua peringkat.

Anda Mungkin Berminat