Hari Kebangsaan: MINDEF lancar kempen Kibar Jalur Gemilang

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) hari ini melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 yang telah diadakan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan majlis berkenaan yang bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka bersamaan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) peringkat MINDEF tahun ini.

“Tema HKHM tahun ini memfokuskan kepada budaya inovasi dalam kalangan warga MINDEF.

“Sambutan pada tahun ini memegang kepada teras perlambangan kesepaduan secara holistik dan progresif dalam menaungi rakyat berbilang kaum untuk bersatu hati serta teguh jati dirinya dalam mempertahankan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, seramai lebih 550 warga MINDEF yang terdiri daripada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kakitangan awam MINDEF telah melafazkan ikrar Rukun Negara.

“Majlis diteruskan dengan pemasangan bendera di kenderaan ATM sebagai simbolik kedua majlis tersebut dan membuat pelepasan flag off kepada perarakan aset-aset,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat pameran-pameran telah ditampilkan dengan penuh kreatif dan inovatif seperti Projek Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) TD daripada Tentera Darat Malaysia, Mobile Comint dari Bahagian Siber Elektromagnetik, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan SLOPT dan RWR B-SENSING dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Baca juga: