Polis buka kertas siasatan lelaki pandu lawan arus

Oleh: Shafira Aziz

GEORGE TOWN: Polis mengesahkan telah mengambil keterangan seorang lelaki yang memandu secara melawan arus di Masjid Negeri, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata pihaknya telah mengesan video tular yang memaparkan salah laku lelaki berkenaan.

“Rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam) menunjukkan lelaki warga tempatan tersebut didapati memandu kereta secara melawan arus kira-kira pukul 4.48 petang hari Jumaat.

“Susulan itu, polis telah memanggil pemandu kenderaan tersebut untuk memberi keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, tular di laman X yang memaparkan cara pemanduan lelaki tersebut hingga dikesan oleh pihak polis.

Razlam memaklumkan kes disiasat dibawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan dan tidak menularkan lagi rakaman video tersebut.

Anda Mungkin Berminat