PuTERA35 Angkat Martabat Bumiputera – PM

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) sebagai anjakan besar dalam memartabatkan Bumiputera dan keseluruhan rakyat tanpa meminggirkan kaum lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan PuTERA35 akan dipantau sepenuhnya oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang akan beliau pengerusikan sendiri.

“PuTERA35 akan menjadi dokumen baharu mengangkat darjat dan martabat Bumiputera bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“PuTERA35 ini perlu, kita nak merancang pembangunan negara tetapi tanggungjawab saudara dari agensi kerajaan, syarikat kerajaan, jabatan dan kementerian untuk menjayakannnya.

“Kita akan pantau dari dekat dan kita mahu program dan pelan ini berjaya untuk memartabatkan Bumiputera dan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap meluncurkan PuTERA35 di Putrajaya pada Isnin.

PuTERA35 diperkenal bagi mengangkat darjat dan martabat Bumiputera sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI iaitu memperkasa rakyat.

Selain itu, dijajarkan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda2030) yang akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan lebih berkualiti.

PuTERA35 disokong oleh tiga teras iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tata kelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial selain turut digariskan 12 pemacu dan 132 ikhtiar.

Perincian program dan projek bagi setiap ikhtiar yang meliputi jangka masa pendek, sederhana dan panjang akan disediakan oleh agensi pelaksana berkaitan dan diselaraskan oleh kementerian.

Ketiga-tiga teras yang berbentuk struktural itu merupakan asas penting kepada kemampuan sosioekonomi, keutuhan tata kelola dan institusi, serta keadilan sosial.

Langkah strategik melalui PuTERA35 ini yang turut melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat swasta bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada ekonomi Bumiputera, tetapi juga komuniti bukan Bumiputera yang memerlukan tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Anda Mungkin Berminat