Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang petang Isnin di sebuah pangsapuri di Desa Petaling ditemui terperangkap dalam lif lebih sembilan jam.
Penemuan kedua-dua mangsa, Faiq Adiwira, 11 dan Muhammad Harith Absyar, 10, hasil pemantauan televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka berada dalam lif di pangsapuri tersebut.
Menerusi rakaman tular, kelihatan dua kanak-kanak itu dipercayai telah tidur dalam lif berkenaan selepas terperangkap.
Kehilangan kanak-kanak itu tular selepas ahli keluarga mereka membuat hebahan di media sosial.
Menurut maklumat yang disiarkan, mereka dipercayai keluar rumah untuk membeli kuih pau kira-kira jam 2 petang.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak pulang semula ke rumah selepas jam 7 petang.
“Kami cari dalam jam 7.50 petang tapi masih belum dijumpai sehingga sekarang jam 10 malam,” tulis salah seorang ahli keluarga di laman sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, terdapat dua laporan mengenai kebimbangan keselamatan dua kanak-kanak itu diterima pihak polis.
“Mangsa telah dijumpai semula dalam keadaan selamat,” katanya.