Oleh: Farah Faizal
KUANTAN: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melancarkan Sistem Identifikasi Vesel (SIV) melalui teknologi imbasan kod QR (Quick Response Code) yang dipasang di vesel Penangkapan Ikan Laut Dalam (Zon C2).
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, Plat Kod QR versi 2.0 ini dinaiktaraf dan telah diuji ketahanan di makmal Jabatan Bioproses & Teknologi Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
“Sebanyak 301 vesel daripada 500 vesel C2 di negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis Perak, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Sarawak dan W.P Labuan telah dipasang.
“Pelancaran SIV membantu DOF dalam membanteras perikanan Illegal, Unreported & Unregulated (IUU) di Malaysia seperti isu pengklonan vesel tempatan dan ketirisan sumber perikanan ke negara jiran dapat dibendung,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, inisiatif ini terbukti melalui kes tangkapan yang berlaku pada bulan Januari tahun 2022 lalu di Thailand melibatkan lima vesel tempatan yang ditahan oleh penguatkuasa di negara tersebut, di mana pengecaman empat vesel penangkapan ikan tempatan tersebut telah dikenal pasti oleh DOF dan disahkan melalui plat Kod QR yang dipasang ke atas vesel tersebut.
“DOF akan mewajibkan pemasangan dan pelaksanaan Kod QR ke atas semua vesel Zon C2 bermula tahun 2026 dan seterusnya akan diaplikasikan pemasangan kepada vesel penangkapan ikan Zon C.
“Pelaksanaan teknologi inovatif ini diharapkan dapat mempertingkat pengurusan sumber perikanan negara melalui pemantauan vesel penangkapan ikan tempatan seluruh Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, SIV dibangunkan oleh DOF sejak tahun 2020 bagi menentukan ketulenan vesel tempatan dengan kos sebanyak RM602,500 dan diperluaskan sehingga tahun 2024 dengan penambahbaikan dari segi ketahanan dan reka bentuk keselamatan tahan lasak terhadap perubahan cuaca serta persekitaran marin.