Mayat pertama daripada tiga mangsa bot karam ditemui terapung

Oleh: Kamilia Ali

LUNDU: Seorang mangsa tragedi perahu tambang karam di Sungai Kayan, Kampung Selampit, telah dijumpai pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa, Vilkie Wilson,15, telah ditemui dalam keadaan terapung oleh orang kampung kira-kira 10 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).

“Mangsa ditemui pada pukul 11.58 pagi, setelah operasi yang dimulakan sejak awal pagi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, dua lagi mangsa masih belum dijumpai setakat ini.

Terdahulu, sebuah perahu tambang yang membawa 20 penumpang, termasuk 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong telah karam.

Dalam masa sama, tiga pelajar dikhuatiri lemas akibat daripada kejadian tersebut dikenali sebagai Alsma Jithil, 14, Vilkie Wilson, 15, dan Helena Fasha Petrus, 16, kesemuanya merupakan pelajar SMK Senibong.

Tragedi yang berlaku sekitar pukul 6.10 pagi itu menyaksikan daripada 20 penumpang, 17 orang berjaya menyelamatkan diri termasuk 15 pelajar sekolah menengah, seorang perempuan dewasa, dan pengemudi perahu.