AMK: Wan Fayhsal, jangan tegakkan benang basah

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ketua Pemuda BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digesa memohon maaf kerana mempertahankan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertikai keputusan bekas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, sudah terang lagi bersuluh Muhyiddin mempertikai keputusan yang dibuat berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan oleh Al-Sultan Abdullah.

“Wan Fayhsal wajar menjadi teladan yang baik kepada anak muda, bukannya bersekongkol dengan kerja jahat Presidennya dan menegakkan benang yang basah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Malah, Haziq turut menyelar tindakan Wan Fayhsal menyalahkan sebuah portal berita kerana menerbitkan video pendek ucapan Muhyiddin mempertikai keputusan dalam urusan pelantikan Perdana Menteri (PM) sebelum ini.

“Tindakan itu adalah cubaan mengalih perhatian orang awam daripada kekhilafan besar yang dibuat oleh Muhyiddin. Keputusan melantik PM selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah pasti mengambil kira Akta Anti Lompat Parti 2022, kontrak perjanjian serta sokongan secara ‘en bloc’.

“BERSATU sudah sekian lama merosakkan demokrasi negara ini bermula dengan Langkah Sheraton sehingga kerangka sebenar Akta Anti Lompat Parti 2022.

“Kini, apabila kerosakan yang mereka lakukan diperbaiki, mereka memilih untuk ‘playing the victim’ kerana tidak lagi boleh ‘menculik’ ahli Parlimen,” katanya lagi.

Terdahulu, Wan Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang membuat laporan polis berhubung penyebaran klip video pendek terbabit.

Pada Rabu, Muhyiddin dirakam keterangan di pejabatnya di KL Sentral selepas polis menerima 30 laporan terhadap beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Anda Mungkin Berminat