KUALA LUMPUR: Polis percaya wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang benam berhampiran Masjid India, di sini dipercayai dihanyutkan oleh arus deras di bawah tanah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) wanita berusia 48 tahun terbabit memerlukan perancangan rapi berikutan membabitkan infrastruktur awam.
Menurutnya, pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk faktor keadaan gas di bawah tanah justeru setiap tindakan yang diambil perlulah berstrategi dan dirancang rapi demi keselamatan semua.
“Saya difahamkan ada aliran air yang deras sampai ke hujung sana (jalan) dan kita dah cover (cari) tengok sampai ke hujung tetapi tidak jumpa.
“Kita sekarang (SAR) ikut peringkat dan perbincangan dibuat dengan pihak Indah Water Konsortium (IWK) dan agensi berkenaan berhubung pelan (infrastruktur) sebab kita tidak boleh buat sesuka hati.
“Saya dimaklumkan jika kita buat penutupan (paip/parit) dikhuatiri mungkin akan berlaku banjir di lokasi,” katanya, memetik Harian Metro hari ini.
Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi kejadian, mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras berikutan tidak kelihatan sejurus terjatuh ke dalam lubang benam itu.
Rusdi berkata, operasi mencari dan menyelamat SAR pada awalnya memfokuskan di lokasi di mana mangsa terjatuh dan dipercayai wanita itu hanyut berikutan menemui ruangan air di bawah tanah.
Mengulas lanjut Rusdi berkata, sebarang penutupan jalan atau operasi premis bergantung atas saranan agensi terbabit dan individu yang pakar dalam bidang berkenaan.
Katanya, kejadian tanah mendap pernah berlaku berhampiran lokasi kejadian itu bagaimanapun kerosakan sudah dibaiki oleh pihak berwajib.
“Ini kes terpencil dan kita pun tidak pernah berlaku (insiden) seperti ini di kawasan ini atau kawasan lain (di Kuala Lumpur).
“Saya percaya dengan kerjasama semua pihak kita mampu menemui mangsa kita berdoa supaya mangsa selamat,” katanya.
Sementara itu, operasi SAR diteruskan menggunakan jengkaut walaupun keadaan hujan lebat di lokasi setakat jam 5.30 petang.